Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Muhibbah
Selamat datang dan Ahlan Wa Sahlan saya ucapkan buat semua pengunjung laman spinscommunity.com. Kunjungan anda menunjukkan minat dan sokongan yang berterusan terhadap usaha-usaha murni dan positif untuk memantapkan lagi pergerakan SPINS selepas ini.
Kewujudan web SPINS Community ini adalah manifestasi daripada kesungguhan anak-anak muda dalam SPINS untuk meneruskan usaha dakwah yang semakin mencabar pada hari ini. Seperti mana yang kita maklum pada hari ini kita hidup dalam dunia global yang menuntut kepantasan berfikir dan bergerak. Dengan tercetusnya kemajuan internet dan teknologi maklumat yang semakin canggih ini maka dunia dakwah tidak dapat tidak harus berubah dan berani bangun bagi menyahut cabaran semasa.
Saya yakin dan percaya rata-rata ahli komuniti adalah di kalangan terpelajar dan profesional yang mampu untuk menggunakan sepenuhnya ruang dan peluang ini untuk sama-sama membantu usaha murni ini di samping memajukan masa depan komuniti SPINS. Generasi baru semestinya perlu dilengkapkan dengan pelbagai kemahiran hard skills dan soft skills bagi memastikan mereka tidak ketinggalan dalam arus pembangunan yang begitu kompleks dan virtual hari ini.
‘Kreativiti dan Inovasi’ adalah dua domain yang sangat penting sekiranya kita ingin bersaing menjadi bangsa gemilang dan terbilang. Anak-anak muda dalam SPINS seharusnya lebih progresif, dinamik dan proaktif dalam menjana idea-idea baru bagi memastikan gerakan dakwah kita sentiasa mendahului di hadapan. Sikap tak apa, lemah dan kecewa dengan kegagalan lalu bukanlah sifat anak muda yang sedang berjuang. Oleh kerana itulah sikap sedemikian perlu dilontar jauh ke tengah lautan Hindi kerana realiti yang berlaku kini adalah…ini adalah masa untuk kita menjadi peneraju perjuangan.
Memetik kata-kata Bapak Sukarno ‘..berikan aku 10 orang pemuda nescaya aku bisa menggegarkan dunia ini’. Mesej ini cukup jelas. Anak-anak muda boleh mencipta perubahan yang besar sekiranya mereka bersatu dan bergerak bersama tanpa mementingkan idealisme dan kepentingan peribadi. Kita boleh menguasai dan mencapai apa sahaja yang kita inginkan sekiranya kita mempunyai azam dan keyakinan yang tinggi terhadap impian dan cita-cita kita.
Persetankan generasi tua dengan cara mereka. Kita anak-anak muda punyai cara dan pendekatan kita yang tersendiri. Prinsip dan keyakinan inilah yang ingin kita cerna dan bina dalam diri setiap anak muda. Sekiranya kita tidak melakukan apa-apa pada hari ini percayalah dunia ini suatu hari nanti akan menuntut kepada kita semua. Amanah dan tanggungjawab dengan segala keringat dan kekuatan yang diberikan sepatutnya kita gunakan untuk menjana kekuatan berbakti kepada masyarakat keseluruhannya.
Semoga dengan usaha kecil ini Allah merahmati dan mengampunkan dosa-dosa kita. Ingatlah Allah sekali-kali tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehinggalah mereka sendiri bertindak mengubah diri mereka sendiri. Dunia ini akhirnya tetap akan jatuh pada anak muda. Mereka yang berjiwa bersih, tidak takut pada kematian, berani berkali-kali gagal dan sentiasa yakin menghadapi kenyataan.
Salam Ukhwah Salam Persahabatan,
Hazwan Haji Mohd Nor